Arena Wati - Muhammad Dahlan bin Abdul Biang


Muhammad Dahlan bin Abdul Biang, Andi Mohalan Andi Beang atau lebih dikenali sebagai Arena Wati (lahir 30 Julai 1925, meninggal dunia 25 Januari 2009) ialah Sasterawan Negara Malaysia tahun 1988. Nama pena lainnya ialah Duta Muda dan Patria.

Arena Wati dilahirkan pada 30 Julai 1925 di Kalumpang Kabupaten, Jeneponto, Makasar, Indonesia. Arena mendapat pendidikan awal di sekolah Belanda, Hollands Indische School, sebelum meletus Perang Dunia II. Semasa Perang Dunia II, beliau memulakan kerjayanya sebagai pelaut pada tahun 1943. Pengalamannya dalam bidang ini meningkatkan lagi kemampuan beliau dalam penulisan dan menghasilkan novel yang baik. Beliau menamatkan pengajian menengahnya di Makasar pada tahun 1953.

Selepas tamat persekolahan, Arena bekerja dengan syarikat penerbitan di Singapura, dan kemudiannya ke Johor Baru dan Brunei. Dalam tempoh ini, beliau telah menjadi warganegara Malaysia dan antara tahun 1962 hingga 1974, beliau bertugas di Pustaka Antara, Kuala Lumpur.

Arena Wati terjun dalam dunia kewartawanan sekitar tahun 1954 dan pernah menjadi editor di Pustaka Antara dan akhirnya menerima anugerah Sasterawan Negara pada 1988. Kebanyakan karya Arena Wati berbentuk akademik, imiginatif, mencabar minda dan kritikannya pedas dan berbisa.

Keluarga
Isterinya Halimah Sulong dan enam orang anak, Rahmahwati, Hiryati, Ilhamuddin, Ratna Siti Akbari, Hasanudin dan Kamaluddin Rostov.

Karya
Novelnya yang pertama ialah Kisah Tiga Pelayaran pada tahun 1959 di Singapura. Selepas itu beliau terus menulis termasuk:
Lingkaran (1962)
Sandera (1971)
Rontok (1980)
Bunga Dari Kuburan (1987)
Kuntum Tulip Biru (1987)
Sakura Mengorak Kelopak (1987)
Panrita (1993).
Sukma Angin (1999)
Cakra Waruga (KN)
Sebuah Trilogi Tiga Genre(KN)
Sebuah Trilogi Tiga Genre(KT)
Trilogi Busa - Busa Hati
Trilogi Busa - Busa Sukma
Trilogi Busa - Busa Kalbu
Trilogi Armageddon : Mandala (2004)
Trilogi Armageddon : Menorah
Trilogi Armageddon : Pentagon
Warna Sukma Usia Muda

Lain-lain karyanya ialah Eno (1985), Syair Pangeran Syarif (1989), Syair Pangeran Syarif Hasyim Al-Qudsi (1989), Syair Perang Cina Di Monterado (1989), Burung Badai (1990), Turina (1991), Citra (1991),Memoir Arena Wati Enda Gulingku (1991), Ombak Samudera (1992), Meniti Kala by Arena Wati (1993), Panrita (1993), Sudara (1994), Mevrouw Toga (1995), Begawan (1996), Jejak Kreatif oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (1996), Koleksi Terpilih Arena Wati (1996), Sukma Angin (1999), Getar-Getir Maya Kumpulan Cerpen (2000), Trilogi Busa (2002).

Armageddon (2004), Kutukan Dari Langit (2004), Langkah Pertama Kumpulan Cerpen Awal, 1954-1959 (2004), 7 Tegak Bersama (2005), Warna Sukma Usia Muda (2005) dan yang terakhir Cakra Waruga (2006).

Kebanyakan karya beliau mempunyai tema permasalahan kelompok bawahan dan berkisar mengenai nasib atau pembelaan terhadap golongan tertindas yang digarap dari pengalaman merantau dari pulau ke pulau di Nusantara. 

Novel Sandera menjadi teks kajian Sastera SPM sekitar tahun 1980-an.

Trilogi Bara-Baraya yang disiapkan ketika dirawat di HUKM berkisar mengenai perjuangan Melayu Nusantara. Rakannya A. Samad Said menyifatkan Arena Wati sebagai sesuatu yang amat bernilai dalam arena sastera.

Pencapaian
SEA Write Award (1985)
Anugerah Sasterawan Negara (1987).
Sukma Angin (1999) memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1998/99.
"Anugerah Penulisan Asia Tenggara 1985" (SEA Write Award) daripada Paduka Raja Thai
Pemenang Hadiah Sastera Majlis Sastera Asia Tenggara (Hadiah MASTERA) 2003.

Meninggal dunia
Jenazah Arena Wati dibawa ke Masjid Wilayah Persekutuan di Jalan Duta untuk disembahyangkan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara. Beliau dirawat di Hospital HUKM Bandar Tun Razak sejak 20 September 2008 kerana barah paru-paru.